19 GAMBAR.. INI CERITA SEBENAR DARIPADA SAKSI DAN AHLI KELUARGA MANGSA KEBAKARAN PUSAT TAHFIZ YG MEMBUATKAN KITA MENITIS AIR MATA…

KUALA LUMPUR – “Panas.. panas.. abang tolong panas! Kami nampak ustaz-ustaz dan pelajar melambai tangan meminta tolong.”

Jeritan guru-guru dan pelajar tahfiz meminta tolong masih terngiang-ngiang di ingatan Nurhayati Abd Halim, 46, yang tinggal di hadapan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

NURHAYATI

Nurhayati yang masih sebak dengan kejadian itu berkata, dalam keadaan getir itu dia dapat melihat mangsa melambaikan tangan dari celah jeriji tingkap meminta pertolongan.

“Ada ahli keluarga lain dan penduduk naik ke tingkat atas bangunan untuk bantu tapi pagar besi berkunci. Usaha nak selamatkan mereka jadi payah.

“Seorang pelajar saya anggap seperti anak sendiri, baru tumpangkan tidur di rumah masa raya haji baru-baru ni. Saya tak nampak dia, mungkin dia terkorban,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Seramai 23 pelajar dan dua guru maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, awal pagi semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, dalam kejadian itu, enam pelajar dan seorang orang awam cedera.

Video awam menunjukkan tingkat paling atas di bangunan tiga tingkat pusat tahfiz itu masih terbakar ketika azan Subuh.

Shahirman, 39, yang tinggal berhampiran pusat tahfiz itu berkata, dia mendengar jeritan pelajar kira-kira jam 5 pagi.

“Saya lihat keadaan di luar masih gelap kecuali api yang marak di tingkat tiga. Saya bersama penduduk cuba bantu keluarkan mereka,” katanya

Menurut Shahriman, dia dan jiran mengarahkan beberapa pelajar terjun dari tingkat tiga.

“Kami cuba sambut, ada yang melecur. Kami cuba bantu apa yang perlu ketika tunggu bomba sampai,” katanya.
HAKIMI
Seorang lagi saksi, Mohd Hakimi Che Mamat, 38, berkata, cubaan membantu mangsa gagal kerana pintu jeriji berkunci.

“Ketika saya masuk ke bangunan itu kira-kira 5.20 pagi, saya naik ke tingkat tiga tempat mereka tidur, sudah marak dengan api. Saya cuba buka jeriji pintu itu tapi tak dapat.

“Pelajar menjerit minta tolong. Ada lagi yang datang nak tolong tapi kami tak dapat buat apa-apa,” katanya.
HAZEN

Hazen, 69, berkata, suara anak-anak tahfiz meminta tolong kedengaran kira-kira 20 minit, namun berakhir selepas berlaku letupan kali ketiga daripada dalam bangunan tingkat atas.

“Saya cuba cari jalan belakang nak selamatkan mereka tapi gagal sebab api dah marak.” katanya.

21 pelajar, dua guru maut di lokasi

POLIS mengesahkan 21 pelajar dan dua guru maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, seramai 23 mangsa meninggal dunia di lokasi dan bomba masih menyiasat punca kejadian.

“Kita mungkin akan dapatkan sampel untuk dianalisa. Lima mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mana tiga daripada mereka berada di zon kuning dan dua lagi berada di zon merah,” katanya.

Pusat tahfiz itu menempatkan 36 pelajar dan enam guru.

Nampak kawan terjun dengan tubuh terbakar

SEORANG mangsa yang terselamat dalam kebakaran berkongsi detik getir dan mencemaskan itu.

Muhd Izzarudin Roslan, 15, berkata, dia terbangun dari pada tidur apabila terdengar letupan dan mendapati api sudah marak di bahagian pintu utama keluar masuk asrama.

“Saya kejutkan kawan-kawan lain dan ustaz. Masa tu keadaan jadi kelam kabut sebab masing-masing tak dapat keluar. Katil pun dah mula terbakar.

“Saya dengan beberapa kawan-kawan lain ke tingkap hujung dan turun ikut batang paip. Masa tu ada kawan yang dah terbakar pada badan terjun ke bawah, yang lain-lain terperangkap,” ceritanya dengan nada sebak.
MUHD IZZARUDIN

Rakannya, Muhammad Danial Amru Al-Haz Ali, 16, berkata, pelajar terdesak untuk menyelamatkan diri dengan cuba memecahkan pintu dan tingkap termasuk menggunakan saluran air untuk
keluar dari bangunan.

“Ada yang cuba memecahkan pintu, tingkap, jeriji besi. Saya lari ikut saluran air dengan meniarap sehingga ke hujung bersama-sama rakan lain,” katanya.

Pelajar cerita detik selamatkan bayi

Seorang bayi berjaya diselamatkan dalam kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, awal pagi semalam.

Kejadian itu diceritakan sendiri oleh salah seorang mangsa, Muhammad Ihsan Husin, 16.

Menurutnya, ketika detik cemas itu, dia bersama lima rakannya berjaya mengeluarkan seorang bayi yang merupakan anak kepada penyelia di pusat tahfiz itu dikenal sebagai Ustaz Azahari.

“Waktu itu, pintu nak keluar asrama dah terbakar, saya nampak ada orang sedang cabut jeriji di pintu. Ketika di bawah saya lihat keadaan orang sudah bising. Isteri ustaz jerit cakap tolong ada bayi.

“Saya dan kawan-kawan tolong selamatkan bayi itu yang berada di tingkat atas yang terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Muhammad Ihsan berkongsi detik ketika dia dan rakan menyelamatkan seorang bayi dalam kejadian kebakaran.

Muhammad Ihsan berkata, ketika kejadian dia berada di tingkat dua.

Katanya, kawannya memanjat tingkap untuk selamatkan bayi, manakala dia berada di tingkat dua untuk sambut bayi terbabit.

Aidiladha pertemuan akhir

“Kali terakhir kami bersama adalah pada Aidiladha lalu,” luah ibu kepada Muhammad Zattullah Roslan, 11, mangsa yang maut dalam kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini, awal pagi semalam.

Kamizan Yusof, 48, berkata, beliau mendapat maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang rakannya yang tinggal berhampiran pusat tahfiz berkenaan.

“Saya terima panggilan kira-kira 7 pagi tadi (semalam) yang meminta saya datang segera kerana pusat tahfiz anak saya belajar terbakar. Waktu itu saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja.

“Pada masa itu hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa cemas dan sedihnya memikirkan nasib adik (Muhammad Zattullah) dan rakan-rakannya,” katanya ketika ditemui, semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertanya khabar kepada sebahagian pelajar tahfiz yang terselamat dalam kebakaran, semalam.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, beliau dimaklumkan anaknya merupakan salah seorang mangsa yang tidak dapat diselamatkan.

“Adik (Zattullah) adalah anak bongsu daripada dua beradik. Dia sangat manja dengan kami. Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya walaupun kehilangannya amat dirasai,” katanya.

Hilang tiga anak saudara serentak

SEORANG wanita kehilangan tiga anak saudara sekali gus dalam kejadian itu.

Mas Zaitun Murni Mohd Shahid berkata, anak saudaranya, Mohd Syafiq Haikal, 13, Mohd Hafiz Iskandar, 11, dan Mohd Haris Ikhwan,10, belajar di pusat tahfiz berkenaan sejak Januari lalu.

“Saya dapat tahu kejadian ini menerusi grup WhatsApp sekolah dan berasa tidak sedap hati,” katanya.
Tiga beradik ini antara yang terkorban dalam kejadian semalam.

Justeru, dia bergegas dari rumahnya dari Ampang, Selangor ke Keramat bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Apabila sampai dan membuat semakan, saya dapati mereka tidak tersenarai dalam mangsa yang selamat,” katanya sebak.
MAS ZAITUN

Selepas kesemua mangsa terkorban dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, dia dan ibu mangsa hadir bagi membuat pengecaman.

“Kakak saya sedang berada di dalam (unit forensik) untuk membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Setakat ini belum ada keputusan,” katanya.

Jenazah dikebumi satu liang lahad

JENAZAH 23 mangsa kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung mungkin dikebumikan dalam satu liang lahad sekiranya mendapat persetujuan keluarga.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menguruskan dari awal hingga akhir urusan pengebumian.
Asyraf menenangkan anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam kebakaran, semalam.

“Jika mendapat persetujuan waris keluarga, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Karak,” katanya kepada media selepas melawat lokasi kebakaran di pusat tahfiz itu.

Menurutnya, proses pengebumian akan dilakukan secepat mungkin selepas proses forensik selesai.

Katanya, seorang kaunselor juga disediakan untuk setiap keluarga bagi memastikan psikologi dan emosi mereka dapat diurus dengan baik akibat trauma kejadian.

Warden baru lepas sanding minggu lalu

KUALA LUMPUR – Tiada yang lebih memilukan buat Noor Fatihah Osman apabila suami yang dinikahinya Mei lalu dan baru bersanding minggu lepas, pergi buat selamanya selepas maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, awal pagi semalam.

Suaminya, Mohd Amirul Nizam Sukarno, 25, adalah guru yang juga warden di pusat tahfiz berkenaan.

Bagaimanapun, wartawan gagal mendapatkan respons daripada Noor Fatihah, 23, berhubung tragedi itu.

Ibu saudara Noor Fatihah, Asmah Yaakob, 50, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pemergian Allahyarham amat memberi kesan kepada keluarganya.

“Kami sekeluarga amat rapat dengan arwah. Pemergiannya amat kami rasai. Kali terakhir saya bertemu Amirul ketika majlis perkahwinannya di Kelantan minggu lepas,” katanya.

Asmah berkata, Mohd Amirul Nizam seorang yang peramah dan sentiasa mengambil berat terhadap orang lain.

“Dia akan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan,” katanya.

Mayat dalam keadaan bertindih

PASUKAN penyelamat menemui beberapa mayat mangsa dalam keadaan bertindih di beberapa lokasi di tingkat tiga Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Soiman Jahid berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat yang tiba beberapa minit selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.41 pagi, mendapati hampir 90 peratus bangunan telah terbakar.

“Ada jeritan pelajar meminta tolong dan seramai lima pelajar berjaya kita selamatkan.

“Operasi menyelamat diteruskan hingga ke tingkat tiga pusat tahfiz terbabit. Beberapa mangsa ditemui bertindih rentung di penjuru kanan bilik, di hadapan pintu tangga utama dan di sudut kiri bilik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, siasatan mendapati punca kebakaran bukan disebabkan litar pintas.

Katanya, hasil siasatan Unit Forensik dan Suruhanjaya Tenaga mengesahkan keadaan litar elektrik pada suis utama bangunan pusat tahfiz itu dalam keadaan baik.

“Kita dapati cara api merebak agak pelik dan luar daripada kebiasaan dengan kadar api merebak sangat cepat dan besar. Biasanya, jika disebabkan litar pintas, kotak fius utama akan ‘tendang’ dan ambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk api marak dan merebak,” katanya.

Khirudin berkata, pihaknya percaya terdapat unsur lain dari luar bangunan yang menyebabkan kebakaran tersebut berlaku dan siasatan terperinci berpandukan ujian makmal sedang dijalankan.

‘Maafkan Amiel’

Seorang ibu tidak dapat menahan sebak dan tidak menyangka surat yang diberikan anaknya adalah yang terakhir.

Norhayati Khalid, 42, yang ditemui menceritakan detik itu berkata, dia datang ke pusat tahfiz ini kelmarin, untuk bertemu anaknya yang baru tiga bulan belajar di sini.

“Saya datang kira-kira jam 5.30 petang dan membawa biskut serta roti seperti yang dimintanya. Saya bawa dia makan dan duduk di taman berhampiran.

“Saya juga sempat bawa dia makan di kedai berhampiran untuk makan makanan kegemarannya iaitu nasi goreng pattaya dan teh O ais,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
NORHAYATI

Surat yang diserahkan Amiel kepada ibunya, Norhayati.

Anaknya, Amiel Asraf Abd Rashid, 11, kemudian menyerahkan sekeping surat kepadanya tetapi meminta tidak membacanya terlebih dahulu kerana malu.

“Dalam nota surat itu ditulis permohonan maafnya andai ada salah silap. Dia kata dia seronok belajar di sini dan dia masuk tahfiz ini sebab nak tolong mak dan ayahnya masuk
syurga,” katanya.

Mengulas lanjut, apa yang sering dikatakan oleh Amiel ketika bertemunya, Norhayati memberitahu, Amiel bercita-cita mahu menjadi penghafaz al-Quran dan setiap kali berjumpa dia akan bercerita mengenai aktivitinya di tahfiz termasuk surah yang dihafalnya.

Gerak hati bapa bertukar berita sedih, anak kedua antara terkorban

SHAH ALAM – Seorang anggota TUDM tidak menyangka gerak hati untuk lalu di hadapan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, kira-kira jam 5.40 pagi semalam, dikejutkan dengan kebakaran pusat tahfiz tersebut.

Lebih menyayat hati Sarjan Mohd Zamzuri Zakaria, 35, anak keduanya, Mohd Aidil Aqmal, 10 , antara mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.

“Saya keluar nak beli sarapan, saya lihat asap dan pasukan bomba sedang memadam kebakaran, masa tu semua sudah hangus, tidak ada suara atau jeritan pun dari dalam, semua senyap,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya 6.30 petang kelmarin apabila Mohd Aidil teringin makan cekodok ibunya.

“Semalam (kelmarin), kami jumpa sebab dia minta ibunya buat cekodok.. ketika itu Mohd Aidil juga bagi tahu yang dia tak mahu tinggal di asrama dan minta kami belikan tilam dan bantal,” katanya.

Reda dengan tragedi menimpa, Mohd Zamzuri memberitahu, jenazah anaknya akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kubur Panjang, Kedah, untuk pengebumian.

“Tapi saya reda apa yang menimpa keluarga kami.

“Kami kehilangan anak yang baik. Semua ini adalah takdir ALLAH,” katanya.

MANGSA TERKORBAN

1. Muhammad Danieal Md Amin, 14
2. Ahmad Rijal Mohammad Rodzi, 13
3. Muhammad Hasrullah Ismaik, 14
4. Muhammad Haikal Abdullah, 12
5. Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri, 10
6. Muhammaf Fahmie Abdullah, 11
7. Muhammad Afiq Haqimie Hairulizwan, 11
8. Muhammad Aiman Ramzanudin, 12
9. Azkar Dariemi F Zaska, 8
10. Nik Muhammad Ridzuan Nik Azlan
11. Azkar Abiedi F Zaska, 11
12. Umar Al Khatab Helmi, 6
13. Amiel Asyraaf Abd Rasid, 11
14. Muhammad Nizammudin Nasrun, 13
15. Muhammad Hafiz Iskandar Sulaiman, 11
16. Muhammad Harris Ikhwan Mohd Sulaiman, 10
17. Muhammad Taufik Hidayat Norazizan, 16
18. Ahmad Harith Adam Mohd Nor Hadi, 12
19. Muhammad Hazim Ahmad Nor, 13
20. Muhammad Syafik Haikal Abdullah, 13
21. Muhammad Zattulah Roslan, 11
22. Mohd Yusuf Md, 26 (guru)
23. Mohd Amrul Nizam Sukarno, 25 (guru)

MANGSA SELAMAT

1. Indra, 18
2. Muhd Sharir Sharifuddin, 13 (pelajar)
3. Zunnun Misri, 12 (pelajar)
4. Adib Bakri, 15 (pelajar)
5. Muhammad Syamin Che Azmi, 18 (pelajar)
6. Muhammad Danish Wan Nor Hisham, 14 (pelajar)
7. Sufian Emmad, 20 (tukang masak)

Takziah kepada keluarga mangsa
Petugas Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) menenangkan keluarga mangsa.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menziarahi anggota keluarga kepada pelajar yang terkorban.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (dua, kiri) menziarahi keluarga mangsa. Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kiri).

Seorang ibu ditenangkan anggota keluarga apabila dimaklumkan anaknya terkorban.

Antara anggota keluarga yang tiba di pusat tahfiz itu

Anggota bomba dan penyelamat usung mayat mangsa kebakaran

Bangunan tidak memenuhi spesifikasi keselamatan yang ditetapkan

Bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung di sini, yang terbakar awal pagi semalam, dilapor tidak memenuhi spesifikasi keselamatan ditetapkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tinjauannya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di tempat kejadian mendapati, premis itu hanya mempunyai satu laluan keluar sekali gus berbahaya terhadap keselamatan penghuni sekiranya berlakunya kecemasan.

Tengku Adnan meninjau lokasi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar dalam kejadian awal pagi, semalam.

Beliau berkata, pemilik dan pengurusan pusat tahfiz berkenaan juga didapati tidak mempunyai kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta DBKL untuk menjalankan aktiviti pengajian tahfiz di premis itu.

“Kadang-kadang bila kita tegur dan suruh tutupsese buah premis, saya dan DBKL dimarahi dan dikatakan tidak adil. Sebenarnya, kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tengku Adnan turut mengucapkan takziah kepada kesemua keluarga mangsa yang terlibat dan bersedia memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa.

Susulan kejadian itu, Tengku Adnan mengarahkan kementerian serta DBKL untuk segera menjalankan pemeriksaan terhadap semua pusat tahfiz di ibu negara dan Putrajaya, bagi menjamin keselamatan penghuni yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan pula berkata, pusat tahfiz persendirian itu berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Saya menyeru mana-mana tahfiz persendirian supaya mendaftar dengan kementerian supaya mudah untuk kami memantau aktiviti tahfiz terbabit,” katanya.

Najib sedih insiden kebakaran pusat tahfiz

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan rasa sedih atas tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan lebih 20 nyawa awal pagi semalam.

“Innalillah. Amat sedih baca Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbakar dan korban lebih 20 nyawa. Moga roh dirahmati ALLAH SWT. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan di laman Twitter, semalam.

Perdana menteri masih berada di iuar negara selepas melakukan lawatan kerja di Amerika Syarikat dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald Trump.

Pusat tahfiz belum dapat sijil layak menduduki bangunan

Pusat tahfiz yang terbakar di Keramat di sini, semalam, tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan selain telah diubah suai daripada struktur asal.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat ada menerima permohonan sijil perakuan berkenaan daripada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung bulan lalu, namun belum diluluskan.

“Mengikut pelan asal bangunan itu, ia berkonsep terbuka, tetapi telah dibina tembok dan tidak ikut pelan asal.

“Bangunan ini juga belum ada kebenaran untuk beroperasi daripada pihak bomba,” katanya selepas melawat lokasi kejadian di sini, semalam.

Noh ketika ditemu bual pihak media. Kelihatan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Naib Presiden PKR, Tian Chua melawat lokasi.

Kebakaran awal pagi itu meragut nyawa 21 pelajar tahfiz dan dua guru tahfiz. Noh berkata, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, hampir 29 kes kebakaran melibatkan sekolah tahfiz berlaku di seluruh negara.

“Kebanyakan bangunan tahfiz ini tidak mengikut peraturan,” katanya.

Beliau berkata, pengusaha sekolah tahfiz harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan sentiasa mengutamakan keselamatan pelajar.

Beliau meminta pengusaha tahfiz agar mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihaknya untuk memastikan tahfiz yang beroperasi mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

Bangunan tahfiz terbakar hanya bangunan sementara

Pelajar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini, sepatutnya berpindah ke bangunan asal di kawasan berhampiran yang telah siap diubah suai hujung bulan ini.

Pengetuanya, Mohd Zahid Mahmod berkata, bangunan tempat berlaku kejadian adalah bangunan sementara menunggu kerja pengubahsuaian yang dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan.

“Saya menguruskan sepenuhnya pusat tahfiz berkenaan sejak 15 tahun lepas dan berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Premis berkenaan menempatkan 42 pelajar, enam guru dan dua warden dari seluruh negara manakala segala kemudahan adalah percuma menerusi tajaan penaung, sumbangan orang ramai serta MAIWP,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pemuda Umno lancar tabung, cari dana bantu pusat tahfiz

Pemuda Umno Titiwangsa akan menggerakkan tabung dan mencari dana bagi membaik pulih semula Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini.

Ketua Pemuda Umno TItiwangsa, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, bantuan itu bertujuan membolehkan pusat tahfiz berkenaan beroperasi semula bagi kelangsungan pendidikan pelajar.

Beliau berkata, kebakaran pusat tahfiz itu, bukan sahaja mengejutkan malah amat menyedihkan.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dan berdoa agar mereka ditempatkan bersama golongan syuhada.

“Bantuan boleh disumbangkan melalui akaun Maybank Pemuda Umno Titiwangsa di 564025403840,” katanya.

Nazir Hussin

Beliau berkata, penyumbang boleh menghantar salinan slip berserta nama dan kepada Mohd Badlishah melalui WhatsApp di 019-3367674.

Sementara itu, Pengerusi Briged Kesatria Muda, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, pihaknya turut melancarkan kutipan tabung bagi membantu keluarga mangsa.

Beliau berkata, Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah mengarahkan jentera Pemuda Umno untuk memberikan bantuan segera di lokasi.

“Kami dah berbincang berhubung pelancaran tabung kilat sebentar tadi. Cumanya, belum tahu jenis jenis yang diperlukan keluarga mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, mereka menyumbangkan RM5,000 kepada wakil tahfiz.

“Kami turut melancarkan tabung kutipan yang akan digerakkan segera dalam kalangan anggota Wanita Umno seluruh negara,” katanya.

KRONOLOGI KES TAHFIZ TERBAKAR

SEPTEMBER 1989

KEDAH – Kebakaran di Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya membabitkan asrama puteri pada 22 September 1989, mengorbankan 27 pelajar.

JUN 2013

SUNGAI PETANI – Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu, maut manakala dua rakannya cedera dalam kebakaran di asrama berkenaan. Ketika kejadian, mangsa, Aiman Nurhakim Yahya, 13, sedang tidur di tingkat atas.

MEI 2016

BUTTERWORTH – Kebakaran asrama Madrasah Tahfiz Al Quran Raudhatul Ulumtahfiz di Telok Air Tawar, memusnahkan hampir 80 peratus bangunan dua tingkat itu dalam kebakaran jam 12.40 tengah malam. Empat pelajar dan seorang guru berjaya menyelamatkan diri.

JANUARI 2017

PEKAN – Seorang pelajar Maahad Tahfiz Nurul Iman di Tanjung Batu, Mohamad Syafiq Aiman Abdullah, 10, melecur di muka dan tangan dalam kebakaran di asrama bangunan berkenaan.

APRIL 2017

PASIR MAS- Seramai 30 pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Ismailiah (Matais) Mukim Lalang, Banggol Chicha, tinggal sehelai sepinggang apabila asrama mereka terbakar jam 4 pagi.

JULAI 2017

SEPANG – Dua blok asrama Maahad Tahfiz Al Baraqah, Sepang, musnah dalam kebakaran, kira-kira jam 4.40 pagi, dan turut merebak ke sebuah rumah setinggan, menyebabkan 30 peratus rumah itu terbakar.

OGOS 2017

BALING – Pondok Tahfiz Al-Taqwa di Kampung Tengah, Teluk Teduri terbakar, kira-kira jam 1.40 pagi dan tiada kemalangan jiwa.

kredit: gpsbestari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *