“Suspek Langsung Tak Tunjuk Riak Menyesal Bakar Tahfiz”

MASIH berkisar mengenai tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. Nampaknya kejadian ini memberi kesan yang mendalam kepada seluruh masyarakat Malaysia.

Sabtu lalu, pihak polis telah mengesahkan kes ini sudah diselesaikan dengan penangkapan tujuh suspek lelaki yang berumur dalam lingkungan 11 dan 18 tahun.

Namun, pelbagai reaksi yang ditunjukan keluarga mangsa mahupun netizen dengan penangkapan itu.

Terbaru, dikhabarkan ketujuh-tujuh suspek yang ditangkap tidak menunjukkan sebarang penyesalan terhadap perbuatan kejam yang telah meragut 23 nyawa penghuni pusat tahfiz tersebut.

Menurut sumber seperti yang dilaporkan New Straits Times (NST), mereka hanya menunjukkan riak muka tidak bersalah semasa disoal siasat tentang apa yang telah terjadi.

“Mereka seolah-olah tidak menyesal dan tidak meminta maaf langsung kerana telah menyebabkan tregedi itu berlaku.

“Mereka hanya memandang bawah apabila dilontarkan pertanyaan. Mungkin mereka sedar yang mereka memang bersalah.

“Tiada tangisan atau apa sahaja perlakuan yang menunjukkan mereka menyesal dengan perbuatan mereka termasuklah suspek yang paling muda sekali,” katanya dipetik laporan NST.

Menurut sumber itu lagi, pada mulanya suspek hanya mahu membalas dendam dengan adegan ejek-mengejek yang berlaku antara mereka termasuk kejadian membaling botol. Namun, perkara yang lebih teruk pula berlaku.

Dalam pada itu, penduduk-penduduk di sekitar pusat tahfiz berkenaan menyatakan memang menjadi kebiasaan remaja-remaja berpeleseran di Taman Tasik Dato’ Keramat tersebut.

Ada juga penduduk yang mendakwa mengenali wajah mereka berdasarkan gambar-gambar yang tular pada Sabtu lalu.

“Mereka yang ditangkap merupakan penduduk sekitar sini. Saya telah melihat mereka menunggang motosikal berkali-kali di sini.

“Dari apa yang kami (penduduk) faham, kebanyakan mereka merupakan pendatang asing yang telah tinggal di Dato Keramat. Mereka dilahirkan di sini tetapi tidak bersekolah,” kata seorang lelaki berusia 40-an.

Seorang lagi penduduk wanita berusia 60-an memberitahu yang kawasan tasik itu memang menjadi tempat berpeleseran budak-budak nakal, budak yang menghisap rokok dan mungkin tempat untuk mengambil dadah.

“Perkara itu sudah bertahun terjadi di kawasan tasik berkenaan. Kadang-kala boleh nampak sekumpulan budak-budak yang berkeliaran di sekitar tasik,” katanya.

Wanita itu turut mendakwa yang kadar jenayah di kawasan itu turut meningkat terutama sekali melibatkan kes kecurian dan pecah rumah.

Terdahulu, pihak polis telah berjaya menangkap ketujuh-tujuh suspek di antara pukul 6.30 pagi Jumaat dan 2.30 pagi Sabtu dari beberapa lokasi berbeza di sekitar Dato’ Keramat.

Sumber: nst.com.my & MYNEWSHUB

PATUTLAH… MEREKA INI GENG BUDAK JAHAT KERAMAT RUPANYA

– Kuala Lumpur : Penduduk sekitar Jalan Keramat Hujung ini terkejut melihat suspek yang ditangkap akibat membakar pusat Tahfiz adalah budak-budak yang selalu mereka lihat tidak disangka budak-budak ini yang selalu dilihat berkeliaran sekitar kawasan inia adalah suspek utama kes ini.

Rata-rata penduduk di sekitar Jalan Keramat Hujung di sini mengenali ketujuh-tujuh remaja digelar Geng Budak Jahat Keramat yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes membakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sehingga meragut nyawa 21 pelajar dan dua gurunya pada Khamis lalu.

Penduduk sekitar memang mengelar kumpulan remaja lelaki itu sebagai Geng Budak Jahat Keramat ekoran sikap mereka yang gemar melepak hampir setiap malam di Taman Tasik Datuk Keramat untuk merokok, menghidu gam dan membuat bising ikut suka hati.

Kedudukan Taman Tasik Datuk Keramat dan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kira-kira 50 meter.

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Izwani berkata, dia dan penduduk lain terkejut apabila wajah ketujuh-tujuh remaja yang ditahan polis dan tular di laman sosial itu merupakan individu dikenali mereka dengan gelaran Geng Budak Jahat Keramat.

Semoga mereka mendapat pembalasan yang sewajarnya diatas apa yang mereka lakukan disifat kan amat kejam dan keji. – beritasayu.my

“Walaupun Bersalah Kerana Membunuh, Pesalah Kanak-Kanak Tidak Boleh Dihukum Mati.”

Pesalah kanak-kanak jika didapati bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh tidak boleh dihukum mati tetapi diletakkan dalam tahanan di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, tempoh tahanan itu pula tertakluk kepada Ahli Lembaga Pelawat yang dilantik khas bagi memantau perkembangan tingkah laku pesalah.

Satu keburukan hukuman itu ialah kita tidak tahu tempoh tahanan berapa lama kerana tertakluk kepada budi bicara Ahli Lembaga Pelawat yang menilai mereka sepanjang tahanan sebelum mencadangkan pembebasan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong. “Perlu diingat, pesalah kanak-kanak di bawah 18 tahun tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Mereka tidak dipanggil orang kena tuduh (OKT) atau perkataan sabit (didapati bersalah) dan walaupun ada kesalahan jenayah tidak boleh dikira sebagai rekod jenayah tidak seperti pesalah dewasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, perbicaraan bagi pesalah kanak-kanak mempunyai dua cara sama ada didakwa di Mahkamah Tinggi dengan menggunakan prosedur Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mahupun dibicarakan di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

“Prosedur perbicaraan juga berbeza dari mahkamah biasa iaitu perlu ada seorang hakim yang layak serta dua orang rakyat biasa dengan salah seorang daripada mereka adalah wanita. “Paling penting segala maklumat peribadi pesalah termasuk nama dan gambar tidak boleh disiarkan kerana melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sementara itu, menurut Peguambela dan Peguamcara Muhammad Akram Abdul Aziz walaupun pihak polis membuat siasatan di bawah seksyen tertentu atau memberikan saranan untuk suspek didakwa di bawah seksyen tertentu, pihak pendakwa raya adalah pihak yang berkuasa membuat keputusan.

“Pihak pendakwa raya yang mempunyai kata putus (setelah meneliti kertas siasatan) untuk memilih sama ada membuat dakwaan mengikut saranan polis atau memilih untuk mendakwa di bawah seksyen lain yang mereka rasakan lebih kukuh buktinya.

“Adakalanya mereka akan meminta pihak polis menjalankan siasatan lebih lanjut untuk memastikan bukti lebih kukuh atau tidak membuat apa-apa dakwaan jika tiada bukti,” katanya. Menurutnya, bagi kes membabitkan remaja atau kanak-kanak di bawah 18 tahun, ada perbezaan dari prosedur perbicaraan biasa.

“Secara amnya, pihak berkaitan akan mengikut prosedur ditetapkan di bawah Seksyen 90 Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca sekali dengan Seksyen 83 di bawah akta sama. “Jika yang dituduh itu kanak-kanak, mereka akan didakwa di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, namun jika usianya mencecah 18 tahun, pesalah akan menjalani proses pendakwaan di mahkamah biasa,” katanya.

Katanya, dari segi hukuman pesalah kanak-kanak juga berbeza apabila Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan golongan itu tidak boleh dihukum gantung sampai mati. “Walaupun kanak-kanak itu boleh didakwa (secara teorinya) di bawah Seksyen 302, tapi jika dibuktikan bersalah, mereka tidak akan dihukum gantung,” katanya.

Sumber :Harlan metro

“Rumah Baru Tahfiz Ittifaqiyah Lebih Cantik, Canggih ”
TATKALA seluruh negara sedang menangisi pemergian tragis anak-anak sekolah tahfiz Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah 14 September lalu akibat kebakaran, beberapa keping gambar menunjukkan rumah baharu yang sepatutnya bakal diduduki pelajar-pelajar itu tersebar di media sosial, hari ini, Ahad.

Menerusi beberapa gambar yang dikirim oleh seorang pengguna Facebook bernama Abdul Jalil Shamsir, fasiliti dan persekitaran rumah baharu sekolah tahfiz tersebut kelihatan lebih kondusif dan luas dengan tersedia gelanggang tenis dan kemudahan-kemudahan lain seperti awning dan water cooler.

Rumah Baru Tahfiz Ittifaqiyah Lebih Cantik, Canggih (6Gambar)

Menurut pengetuanya Mohd Zahid Mahmood, bangunan baharu itu kini sedang diubah suai.

“Bangunan itu juga akan diperiksa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mendapatkan sijil layak menduduki.

“Apabila semua proses itu selesai baru kesemua pelajar akan masuk semula untuk meneruskan aktiviti pembelajaran,” katanya kepada media beberapa hari lalu.

Bangunan itu turut dilengkapi kira-kira 24 unit kamera rakaman litar tertutup (CCTV).

Kata Mohd Zahid, selepas dinaik taraf, bangunan itu mampu menempatkan lebih 70 penghuni, selain dilengkapi dengan sebuah gelanggang futsal, ruang solat luas, dewan makan dan beberapa asrama.

Rumah yang terletak di Jalan Keramat Ujung di Kuala Lumpur dijangka beroperasi semula selewat-lewatnya Oktober ini di bangunan baharu yang terletak kira-kira 800 meter dari bangunan yang terbakar tersebut.

Sementara itu, buat masa ini kesemua 18 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun yang terselamat dalam tragedi awal pagi Khamis lepas kini bercuti dan bersama keluarga masing-masing.

Dengan perpindahan pelajar-pelajar ini ke tempat baharu itu mungkin sedikit sebanyak dapat menyembuhkan kesedihan yang mereka alami akibat kehilangan rakan-rakan serta guru-guru mereka dalam kejadian itu.

Sekadar mengimabas kembali, pada Selasa 14 September lalu, 21 pelajar berusia 6 hingga 16 tahun serta dua guru berusia 26 dan 25 tahun maut dalam insiden yang berlaku pada jam 5.20 pagi itu selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat tersebut.

Apa yang mengejutkan adalah hasil siasatan mendapati insiden tersebut mempunyai unsir jenayah di sebaliknya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kebakaran berkenaan.

Beliau berkata polis percaya motif kebakaran pusat tahfiz itu adalah dendam yang berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek antara pelajar tahfiz tersebut dan pihak luar.

Enam daripada tujuh suspek juga positif dadah.

Kesemua mereka yang tidak bersekolah direman selama tujuh hari sehingga 22 September untuk siasatan lanjut, menurut laporan Bernama.

sumber– MYNEWSHUB.CC