Bertahun- Tahun wanita ini beri penghormatan pada bayinya yang meninggal dunia tanpa mengetahui yang organ bayinya telah diambil dan jasadnya dibakar ditempat lain…

Sejak kematian bayinya Garry Paton yang berusia tujuh hari pada bulan Julai 1975, Lydia Reid tidak pernah berputus asa untuk cuba membongkar punca kematian bayinya yang dirasakan meragukan. Hatinya bertambah luluh akan kenyataan yang terpaksa diterima selepas kubur bayi lelakinya digali semula.

Ibu ini telah dibiarkan berasa kecewa dan luluh selepas mengetahui hakikat yang mayat bayi lelaki itu sebenarnya tiada di dalam keranda yang telah digali semula.

Lydia Reid telah berjuang selama 42 tahun untuk mencari kebenaran tentang apa yang sebenarnya telah berlaku kepada bayinya Garry yang telah meninggal dunia pada tahun 1975.

Kredit : BBC

Lydia mendakwa pada hari bayinya meninggal dunia, beliau meminta pihak Hospital Edinburgh’s Sick Kids supaya menunjukkan mayat bayi lelakinya itu tetapi apa yang mereka tunjukkan bukanlah bayinya yang sebenar.

Apabila Lydia mempersoalkan identiti bayi itu, beliau mendakwa pihak hospital telah memberitahunya yang beliau sedang mengalami kemurungan selepas bersalin.

Kredit : BBC

Dengan keraguan yang sentiasa menghantui diri, Lydia telah memohon kepada mahkamah untuk mendapat perintah penggalian semula kubur bayi lelakinya itu di tanah perkuburan Edinburgh.

Alangkah terkejutnya Lydia apabila mengetahui tiada mayat bayi yang dikebumikan di dalam keranda dan kubur itu.

Lydia berkata,”Semestinya terdapat satu penjelasan yang diterima akal serta logik dan sebenarnya mayat bayi saya tidak pun diletakkan di dalam keranda itu.”

Kredit : BBC

Lydia Reid yang kini berusia 68 tahun telah mengesyaki yang organ-organ bayi lelakinya telah dikeluarkan tanpa mendapat keizinannya pada zaman itu yang heboh dengan skandal penjualan organ  manusia pada tahun 1970 hingga 2000 tetapi beliau tidak dapat membuktikan dakwaan itu.

Pihak berkuasa di Scotland telah dipaksa mengakui akan amalan pengeluaran dan penjualan organ yang berleluasa pada zaman itu selepas terbongkarnya penemuan organ-organ manusia yang dikumpulkan di Hospital Alder Hey di Liverpool.

Kredit : BBC

Sebanyak 6,000 organ dan tisu manusia telah dikumpul dan disimpan oleh hospital-hospital di Scotland dan kebanyakannya diambil dari bayi dan kanak-kanak ketika itu.

Kata Lydia, “Amat mengecewakan apabila mengetahui selama bertahun-tahun ini , saya telah datang untuk memberi penghormatan kepada anak lelaki saya dan sebenarnya dia tiada di sini.”

Tegas Lydia lagi, “Garry anak lelaki saya dan dia berhak mendapat penghormatan dengan pengebumian yang sempurna. Seseorang di hospital itu mesti mengetahui apa yang telah terjadi kepadanya. Walaupun mayatnya telah dibakar, saya masih mahu mengetahui apa yang telah terjadi.”

Kredit : BBC

Pengarah pengebumian di Scotmid Co-operative Funeral berkata sejurus sahaja beliau mendengar dakwaan itu, pihak mereka telah melaporkan perkara itu kepada pihak polis Scotland.

Dalam kenyataannya berkata,”Baru-baru ini kami telah menemui Puan Lydia Reid dan ahli keluarganya untuk menyatakan sokongan dan bantuan yang akan kami berikan dengan sepenuhnya dalam keadaan mereka yang sedang sugul dan bersedih itu.”

Katanya lagi, “Pihak kami berharap tindakan kami dengan memberitahu pihak polis akan mampu memberi jawapan kepada persoalan Lydia Reid akan cara pengebumian anak lelakinya itu.”

Perkara itu telah dibawa ke pengetahuan pihak polis Scotland dan siasatan mengenai perkara tersebut sedang giat dijalankan.

Era Baru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *