Hanya Tuhan Yang Tahu Betapa Remuknya Perasaanku setelah ketahui KEBENARAN tentang isteriku…

Related image

Curang, adalah satu perkataan yang amat menyakitkan. Tidak kira lelaki mahupun wanita, kecurangan boleh berlaku di mana-mana. Andai ada yang tidak mampu menahan nafsu, maka curanglah jadinya.

Selalunya jika berbicara mengenai kecurangan, mesti jari telunjuk akan ditala ke arah lelaki. Jahat sangatkah lelaki? Baru-baru Maskulin telah dihubungi oleh seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Azam.  Kisah Azam amat memilukan kerana dia dicurangi oleh isteri tercinta.  Berbanding kisah cinta dan curang yang kita pernah dengar sebelum ini, kisah curang si isteri kepada Azam sedikit berbeza. Diharapkan paparan kisah Azam ini dijadikan contoh dan tauladan kepada pembaca di luar sana. Ikuti luahan Azam kepada Maskulin.

Pertama kali melihat Azam, penulis tersenyum kerana air mukanya yang mudah mesra. Azam kelihatan senang untuk jadi ‘sekepala’. Pertemuan petang itu di sebuah kafe terkemuka diharap memberikan sebuah cerita cinta yang ingin dikorek penulis.

Selepas berjabat tangan dan memperkenalkan diri masing-masing, kami mula membuka cerita. Penulis sebelum itu memberitahu kepada Azam, sekiranya ada perkara yang tidak ingin atau tidak selesa untuk diceritakan, tidak mengapa dan Azam bersetuju.

Azam mula bercerita mengenai kisah cinta dia dan bekas isterinya. Pada awal perkenalan, semuanya berjalan lancar. Kata-kata cinta tidak pernah lekang daripada bibir si puteri. Hidup Azam penuh warna dengan hadirnya kekasih hati yang hanya diberitahu namanya bermula huruf S.

Selepas enam bulan mengikat tali pertunangan, Azam memutuskan untuk melangkah ke alam rumah tangga. Daripada bergelar tunang, Azam dan si gadis diijabkabulkan menjadi sepasang suami isteri. Majlis perkahwinan bukan sekadar biasa-biasa. Dewan besar ditempah, seluruh  ahli keluarga serta sahabat taulan dijemput bagi meraikan hari istimewa Azam dan isteri.

Semuanya berjalan lancar. Perkahwinan yang mendapat restu orang tua, kata orang akan bertahan lama. Sememangnya Azam bersyukur dengan kehidupan rumah tangganya yang penuh kebahagiaan. Kerjayanya juga semakin menjadi. Rezeki melimpah ruah buat mereka suami isteri.

Related image

Pada ketika ini, apa sahaja yang dilakukan sentiasa berdua. Sentiasa bersama. Apa yang diinginkan si isteri, Azam akan sedaya upaya tunaikan. Ingin membeli itu ini, Azam cuba dapatkannya. Ingin melancong ke luar negara, tidak menjadi masalah kerana Azam akan bawa isterinya melancong.

Dua tahun perkahwinan, semuanya masih berjalan lancar. Kehadiran cahaya mata, Haikal menambah lagi keceriaan dalam rumah tangga mereka. Bertambah lagilah rasa cinta dan sayang Azam kepada isterinya.

Ketika usia perkahwinan mereka merangkak ke usia tiga tahun, kelainan mula dirasai. Azam mula merasakan perubahan kepada diri isterinya. “Apa yang berubah?” soal penulis. Azam menarik nafas panjang dan menyambung ceritanya.

“Dia berbeza dari tingkah laku dan seperti menyembunyikan sesuatu daripada saya,” kata Azam. Isterinya sentiasa membawa telefon bimbitnya walaupun ke bilik mandi. Itu menjadi tanda tanya buat Azam. Jelas menunjukkan bahawa isterinya menyembunyikan sesuatu.

Seminggu berlalu. Isterinya masih bersikap sebegitu. Ada teman-teman Azam yang bercerita pernah ternampak isterinya keluar bersama orang lain. Tetapi Azam tidak menghiraukan cerita-cerita itu kerana baginya, tugas isteri sebagai seorang pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat terkemuka di Malaysia, sememangnya memerlukan dia keluar dan berjumpa ramai orang.

Apabila sudah terlalu tertekan dan rasa ingin tahu mengenai apa yang cuba disembunyikan oleh isterinya, Azam nekad untuk mencungkil apa yang berlaku. Azam merancang untuk melakukan tugas tersebut sendirian.

Image result for WANITA pengkit

Suatu hari, seperti biasa selesai solat Subuh, Azam bersiap-siap sementara isterinya sedang mandi. Hendak dijadikan cerita, isterinya meninggalkan telefon bimbitnya di meja solek. Berfikir dua kali juga si Azam, sama ada hendak mengambilnya atau tidak. Mengikut gerak hati, Azam mencapai telefon bimbit isterinya dan tertera satu SMS dari satu nombor. Tidak bernama. Azam membuka peti mesej tersebut dan tertera “Boleh kita jumpa nanti, sayang?”.

Hati Azam berdegup kencang dan mula tertanya-tanya, siapakah penghantar SMS tersebut dan jika teman-teman, kenapa nombor telefonnya tidak disimpan? Pelbagai persoalan menghantui fikiran Azam. Mungkin pada pagi itu, Tuhan menyebelahinya dan dia dapat melihat mesej tersebut.

Ketika sedang bersarapan, semuanya seperti biasa. Begitu juga ketika mereka hendak bertolak ke pejabat. Tiada yang mencurigakan. Tetapi kerana berasa curiga, Azam tidak ke pejabat sebaliknya mengekori isteri. Sekali lagi Azam menyaksikan sesuatu yang tidak diduga. Isterinya tidak ke pejabat tetapi ke suatu tempat tidak jauh dari pejabat.

Isterinya berhenti di kawasan letak kereta dan nampak gayanya seperti sedang menunggu seseorang. Siapakah yang ditunggu? Azam terus menunggu di dalam kereta sambil memerhatikan perlakuan isterinya dari jauh. Beberapa minit kemudian, muncul sebuah lagi kereta BMW dan berhenti di sebelah kereta isterinya.

Pemandunya seorang wanita. Cantik orangnya. Azam menarik nafas lega. Dalam hatinya berkata, “Mungkin ini temannya,” tetapi pada masa yang sama dia masih tertanya-tanya mengenai SMS yang dibaca di telefon bimbit isterinya pagi tadi.

Dia pulang ke pejabat. Hatinya masih tidak tenteram. Perasaan ingin tahu membuak-buak dan fikirannya penuh dengan persoalan. “Ini tak boleh jadi!” gertak kata hatinya.

Azam terus meminjam kereta rakan sepejabat dan menuju ke pejabat isterinya. Tujuannya ingin melihat sama ada isterinya masih di pejabat atau ke tempat lagi. Lebih kurang jam 5.00 petang, Azam tiba di tempat isterinya bekerja.

Dia tahu selalunya lebih kurang masa begitu, isterinya akan bertolak pulang ke rumah. Beberapa minit kemudian, dari jauh Azam melihat kelibat isterinya keluar dari pintu pejabat menuju ke kereta. Isterinya tidak menaiki keretanya tetapi menuju ke arah BMW yang telah dilihat pagi tadi.

Masih wanita yang sama memandu. Isterinya masuk ke dalam kereta dan berborak dengan wanita tersebut. Azam terus memerhatikan dari jauh. Beberapa ketika kemudian, dia menerima satu panggilan daripada isterinya.

“Abang, saya balik lambat sikit malam ni. Ada meeting,” kata isterinya.

“Oh okay. Awak kat mana sekarang?” soal Azam.

“Saya masih di dalam pejabat. Okay lah bang. Saya nak ke bilik mesyuarat ni. Nanti saya call abang semula,” balas isterinya.

Berderau darah Azam apabila mendapati isterinya membuat penipuan terang-terangan.. Jelas isterinya menipu. Cuma yang masih menjadi tanda tanya di fikirannya, siapakah penghantar SMS yang telah dibacanya pagi tadi? .

Azam terus menunggu dan mengekori gerak geri isterinya. Kereta yang dipandu wanita tersebut terus bergerak. Tidak tahu ke mana destinasi mereka, tetapi Azam terus mengekori dari belakang.

Setibanya di sebuah restoran mewah, kereta BMW tersebut diparkir di kawasan letak kereta. Isterinya turun bersama-sama wanita tersebut menuju ke dalam restoran. Azam masih di dalam kereta, memerhatikan dari jauh setiap pergerakan isterinya. Nampaknya kedua-dua mereka sedang makan dengan gembira. Azam terus menunggu sehingga mereka keluar dari restoran tersebut.

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 8 malam. Kereta BMW tersebut meluncur laju menuju ke kawasan yang agak terpencil, di belakang rumah-rumah kedai. Dalam kegelapan itu, kereta tersebut berhenti. Azam dapat melihat dengan jelas, isterinya dan wanita tersebut di dalam kereta itu dan setiap perlakuan mereka.

Agak janggal apabila dua orang wanita berada di tempat sebegini. Kawasan tersebut memang agak terpencil dan tiada yang lalu lalang. Azam mematikan enjin keretanya dan memadamkan lampu untuk mengelak daripada dikesan.

Dua orang wanita di dalam BMW itu seperti berborak, kemudian wanita itu mula memegang pipi isterinya. Wanita tersebut mencium pipi isterinya seterusnya mengucup bibir. Azam seperti tersentak dengan perlakuan sebegitu tetapi dia masih mampu bertahan kerana ini melihat apa yang akan berlaku seterusnya.

Image result for WANITA pengkit

“Astaghfirullahalazim…” kata Azam di dalam hati. Kelihatan isterinya amat menikmati ciuman tersebut. Apa yang sedang berlaku soal Azam sendirian. Terus dicapai telefon bimbitnya dan merakam adegan tersebut.

Azam berasa amat dayus pada ketika itu. Bayangkan, isterinya sendiri yang ditatang, disayangi, rupanya punya nafsu dengan kaum sejenis. Jijik! Azam masih terus bertahan kerana dia tidak mahu emosi mengawal dirinya.

Azam tidak sanggup lagi menunggu. Terus dihidupkan enjin keretan dan terus memandu pulang. Setibanya di rumah, Azam mandi dan solat. Di atas tikar sejadah, dia menangis dan bertanya kepada diri sendiri. Seperti tidak percaya tetapi kebenaran berlaku di hadapan matanya sendiri.

Jika isterinya curang dengan seorang lelaki, itu masalah lain. Tetapi untuk kes ini. Azam beristighfar. Penulis dapat melihat raut wajah Azam yang nampak geram dan nada suara yang kedengaran sebak.

“Awak okay tak?” soal penulis. Azam mengangguk. Dia meneruskan ceritanya. Pada malam itu, dia seperti biasa menunggu di katil. Dalam jam 10.30 malam, isterinya tiba di rumah. Kelihatan penat. Mungkin penat melayan nafsu pasangan sejenisnya.

Keesokan harinya, Azam bertanya kepada isterinya sama ada dia tidak memberikan nafkah batin yang secukupnya kepada isterinya, tetapi si isteri cuba untuk tidak berbicara mengenai perkara itu. Azam menyoal lagi isterinya, sama ada masih cintanya atau tidak. Bukan jawapan yang diberi tetapi si isteri terus memarahinya kerana mempertikaikan cintanya.

Azam merasakan dirinya seperti orang bodoh. Beberapa hari kemudian, pada hari Sabtu, Azam mengajak isterinya untuk pulang ke kampung isterinya. Dia tidak menolak kerana tidak mengesyaki apa-apa.

Setibanya di kampung, di hadapan ibu bapa mertuanya, Azam menyatakan hasratnya untuk menceraikan S. Terkejut kedua-dua ibu dan bapa mertuanya dengan kenyataan tersebut. Mereka tertanya-tanya, apa salah anak mereka.

Azam meminta isterinya supaya menceritakan hal yang sebenar tetap isterinya terus memberikan sejuta ala an untuk menyangkal soalan Azam. Sehingga satu ketika, Azam tidak mampu lagi menahan sebak. Dirinya benar-benar tercabar lalu dia menunjukkan klip video yang dirakam. Alangkah terkejut kedua-dua mertuanya.

Mereka malu dan menyesal punya anak sebegitu. Isterinya terkejut malu. Dia merayu kepada Azam supaya tidak meninggalkannya. Dia meraung memohon maaf tetapi Azam dengan berat hati tetap dengan pendiriannya untuk menceraikan si isteri.

Setelah memfailkan penceraian Mahkamah Syariah, Azam bersyukur kerana hak penjagaan Haikal menjadi miliknya. Azam menghela nafas panjang dan berhenti bercerita. Air mukanya yang ceria pada awal pertemuan tadi berubah. Mungkin dia merindui bekas isterinya, tetapi apabila difikirkan apa yang telah dilakukan oleh bekas isterinya itu, dia cuba melepaskan perasaan tersebut.

Penulis bangga dengan Azam kerana dia sentiasa memberikan yang terbaik buat isteri dan keluarganya. Dia juga bijak mengawal emosinya walaupun sudah mengetahui mengenai kecurangan isterinya.

Benarlah kata orang, curang tidak semestinya dilakukan oleh si jejaka. Kadangkala, isteri yang baik juga bermain kayu tiga di belakang si suami.

sumber maskulin.com.my