Sayu hati lihat bayi guling sakit kepala

HIBA hati seorang ibu tatkala melihat anaknya berusia 16 bulan menderita Encephalocele (otak di luar tempurung kepala) menggulingkan badan sambil menarik rambut apabila diserang sakit kepala melampau.

Pengalaman itu diceritakan Che Basah Addnan, 40, dari Sri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong, Georgetown, apabila ditanya mengenai rambut anaknya, Nur Safa Raudhah Sabri, yang gugur sejak beberapa bulan lalu.

Suri rumah itu berkata, selepas menjalani pembedahan bagi memasang tiub di kepala pada Julai lalu, rambut Nur Safa Raudhah tumbuh dengan lebat serta membesar seperti kanak-kanak normal.

“Biasanya sakit akan menyerang pada waktu malam sehingga dia sukar tidur selain berguling-guling serta mencabut rambut dan saya hanya mampu tenangkannya dengan linangan air mata.

“Cuma saiz kepalanya besar sedikit dan boleh nampak denyutan di kepala, tetapi perkembangannya adalah seperti kanak-kanak lain malah dia sudah boleh duduk sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Nur Safa Raudhah disahkan menghidap penyakit berkenaan selepas dilahirkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada tahun lalu dan menjalani pembedahan pertama tiga hari kemudian.

Che Basah berkata, anaknya menjalani pembedahan kedua berikutan terdapat jangkitan kuman dalam darah pada Mei lalu sebelum pembedahan ketiga bagi memasang tiub pada Julai.

Penyakit itu menyebabkan mata kiri Nur Safa Raudhah menjadi kabur, telinga di bahagian kiri tidak dapat mendengar dengan baik selain mengalami jantung berlubang.

Jika Nur Safa Raudhah muntah selepas makan atau keluar melalui hidung, dia perlu dibawa ke hospital dengan segera kerana ia menandakan tiub dipasang sudah tersumbat serta akan membahayakan nyawanya.

“Saya sudah memohon bantuan Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang bagi perbelanjaan rawatan Nur Safa Raudhah dan jika boleh mahu membuat rayuan bagi mendapatkan bantuan bulanan.

“Kini saya sedang dalam proses bagi membuat kad orang kurang upaya (OKU) Nur Safa Raudhah bagi membuat permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula,” katanya.

Suami Che Basah, Sabri Abdul Aziz, 40, bekerja sebagai pembancuh kopi di kedai makan dengan pendapatan sebanyak RM70 sehari bagi menanggung tiga lagi anak berusia 12, sembilan dan enam tahun yang masih bersekolah.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank milik Che Basah Addnan dengan nombor akaun 157054856666.

Che Basah turut menerima kunjungan Pusat Kebajikan Baitulfiqh yang aktif dalam kempen ‘We Care’ bagi membantu golongan yang memerlukan dengan memberi sedikit keperluan dapur seperti beras dan makanan, semalam.

 

sumber