Mama Papa, Jangan ‘Kalut’ Hantar Anak Ke Tadika Terlalu Awal. Ini 5 Sebabnya…..

“Tahun depan Balqis dah 4 tahun. Kalau boleh nak hantar dia masuk tadikalah. Anak jiran tu baru 4 tahun dah pandai baca. Nanti lambat-lambat ketinggalan pulak.”

Sekarang ini dah memang menjadi trend ibu bapa menghantar anak ke tadika lebih awal. Rata-rata anak-anak ini sememangnya sudah mula dihantar ke pengasuh atau taska sejak kecil lagi apabila ibu bapa bekerja. Tapi dah alang-alang ‘duduk saja’ di sana, ibu bapa fikir lagi bagus tadika terus, boleh belajar banyak benda.

Sebenarnya, walaupun duduk di rumah tanpa aktiviti yang padat, anak-anak anda tetap akan mempelajari banyak perkara. Para pengkaji dari Universiti Stanford pernah membuat perbandingan antara anak yang dihantar bersekolah pada usia 5 tahun dengan 6 tahun. Hasilnya, mereka mendapati bahawa kanak-kanak yang dihantar ke tadika lewat setahun, iaitu pada usia 6 tahun memiliki lebih banyak keuntungan.

Sekalipun mereka yang dihantar menjalani pendidikan formal lebih awal mungkin dilihat lebih advanced dalam beberapa hal, namun ada beberapa perkara yang perlu difahami oleh ibu bapa.

1. RISIKO STRES

Stres yang melanda anak kecil zaman kini bukan lagi sesuatu yang asing. Bukan semua anak mempunyai tahap kesediaan atau ‘school readiness’ yang sama walaupun usia mereka tidak jauh berbeza.

Sekiranya mereka terlalu dipaksa, ia akan memberi tekanan kepada sosial dan emosi anak kecil. Dengan keadaan belum mampu menyesuaikan diri dan tidak dipenuhi keperluan mereka, sedikit sebanyak ia dapat menjejaskan kadar perkembangan skil yang seiring dengan usia mereka.

2. RUTIN FORMAL YANG TERLALU PADAT / TIDAK SESUAI

Para psikologi berpendapat bahawa ibu bapa yang melewatkan anak ke tadika ini berpeluang mengajarkan anak mereka mempraktikkan rutin secara informal di samping memberi kelonggaran kepada anak untuk bermain secara bebas dan kreatif.

Hasilnya, anak-anak ini mempunyai self-control atau kemahiran mengendalikan diri dengan baik. Anak yang pertama kali mengikuti pendidikan formal mungkin akan berasa susah menyesuaikan diri dengan keadaan ibu bapa tidak menetapkan rutin yang biasa di rumah seperti waktu makan, mandi, tidur, dan sebagainya.

Menurut hasil laporan pengkaji melalui TheGuardian, anak yang berusia 4 tahun biasanya masih belum bersedia untuk persekitaran sebegini. Jika dipaksa, mereka mungkin akan mengalami masalah menyesuaikan diri, kerisauan, dan kemurungan.

 

3. KEMAMPUAN BERSOSIAL BELUM BERKEMBANG

Orang cakap kalau hantar anak ke tadika lebih awal, lebih cepat mereka pandai berkawan. Mungkin ya dan mungkin tidak. Ini kerana anak-anak yang dihantar ke tadika sepatutnya sudah boleh mengekspresikan kemahuan mereka. Jika tidak, mereka berpotensi ‘dibuli’ kerana rupa bentuk fizikal dan kekurangan mereka.

Dalam keadaan tidak selesa dan asing, kemampuan anak-anak ini untuk berkembang boleh terhindar. Sebaliknya, melalui aktiviti bermain di rumah yang lebih bebas, anak-anak dapat mempelajari macam-macam kebolehan yang penting sekalipun berinteraksi dengan orang yang berbeza usia. Jangan pandang ringan dengan aktiviti bermain kerana melalui aktiviti bermain inilah, mereka belajar berfikir, membuat keputusan, belajar berkongsi, meminta tolong, dan menerima pendapat orang luar.

4. TRAUMA / KESAN JANGKA MASA PANJANG

Zaman kanak-kanak yang terpaksa ‘dikorbankan’ dengan begitu banyak aktiviti dan kerja sekolah mungkin akan memberi kesan jangka masa panjang akibat pengalaman negatif yang tidak menggembirakan.

Seperti yang dilaporkan oleh pakar, pengalaman negatif ini boleh membuat anak-anak berasa ‘benci’, ‘takut’ atau ‘malas’ ke sekolah sekalipun tiada apa-apa buruk yang berlaku. Implikasinya akan mempengaruhi pencapaian akademik kanak-kanak itu buat jangka masa panjang.

5. TIADA PERBEZAAN DARI SEGI PENCAPAIAN AKADEMIK

Kebanyakan sumber mendapati bahawa perbezaan 1-2 tahun dalam mempercepatkan anak ke tadika atau prasekolah tidak memberi kelebihan kepada anak apabila mereka dewasa.

Sebaliknya, kajian mendapati bahawa perbezaan setahun melewatkan anak ke tadika memberi kesan positif kepada kanak-kanak ketika usia mereka 11 tahun. Ini kerana, mereka yang dihantar ke tadika pada umur 6 tahun menunjukkan 73% prestasi yang lebih baik apabila dinilai tahap fokus dan penumpuan.

JANGAN KALUT, TUNGGU ANAK BERSEDIA!

Tak salah jika ibu bapa ingin memperkenalkan anak-anak mereka dengan persekitaran yang baru. Namun, pastikan anak-anak ini bersedia dan dipenuhi keperluan mereka dari segi emosi dan sosial.

Seeloknya, pilihlah tadika atau prasekolah yang sesuai bagi membolehkan mereka meneroka serta menikmati zaman kanak-kanak mereka. Antara ciri yang baik adalah prasekolah yang memfokuskan aktiviti bermain, kurikulum yang fleksibel, dan tidak terlalu memberatkan kepada pendidikan formal semata-mata.

Yang penting, janganlah kita terlalu membandingkan anak-anak kita dengan orang lain kerana setiap daripada mereka ini terlalu istimewa dan unik. Seperkara lagi, kitalah sebagai ibu bapa yang perlu memainkan peranan dalam mencorakkan peribadi anak, bukan hanya bergantung kepada pengasuh atau guru.

sumber:siraplimau

 

Anak anda sering sakit?

Sebenarnya, mungkin ramai dah tahu bahawa sistem pertahanan badan kanak-kanak masih belum matang semasa lahir, dan ia akan berkembang selari dengan tumbesaran kanak-kanak tersebut. Jadi, memang lumrah bagi anak kecil mengalami demam, selsema, batuk, dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, sekerap manakah ia dikira normal? Menurut Dr Intan Juliana Abd Hamid menerusi DoktorBudak.com, kita tak perlu panik jika anak mengalami demam atau sakit yang berulang. 5-6 kali setahun adalah masih dianggap normal, selagi anak masih aktif dan tidak mengalami masalah serius seperti kesukaran bernafas, hilang kesedaran, sawan, dan tidak mampu makan atau minum.

Anda boleh cuba melakukan beberapa usaha untuk meningkatkan imuniti anak agar ia berfungsi secara optimum.

9 LANGKAH MENINGKATKAN IMUNITI TUBUH ANAK DENGAN BERKESAN

1. MENERUSKAN PENYUSUAN BADAN

Bagi anak yang masih menyusu, penyusuan badan adalah antara cara yang terbaik untuk meningkatkan imuniti dalam tubuh mereka. Ini kerana susu badan mengandungi antibodi dan sel darah putih – iaitu 2 bahan utama yang memacu sistem pertahanan badan dan melawan sebarang jangkitan.

Jika anda mengalami payudara yang bengkak, cubalah mengepam dan memberi anak susu perahan sebagai alternatif buat sementara waktu. Di samping itu, ibu menyusu juga boleh meningkatkan pengambilan makanan yang berkhasiat agar ia turut dapat dimanfaatkan oleh bayi melalui susu ibu.

2. MEMPELBAGAIKAN SUMBER SAYURAN & BUAH-BUAHAN

Pastikan anak-anak mendapat sumber sayuran dan buah-buahan yang terdiri daripada pelbagai warna kerana setiapnya mengandungi nutrisi yang berbeza. Kalau anak susah makan sayuran dan buah, kita janganlah berputus asa untuk mencuba menu-menu baru dalam hidangan harian mereka.

Selain dimakan dalam bentuk segar, buah-buahan juga boleh diolah dalam bentuk lain seperti jus, aiskrim, smoothie, dan sebagainya untuk menarik minat mereka. Namun, elakkan penambahan gula berlebihan ya!

3. MENAMBAH BAWANG PUTIH DALAM HIDANGAN

Salah satu cara yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan imuniti anak adalah dengan menambahkan bawang putih dalam hidangan mereka. Bawang putih mengandungi bahan anti-virus dan anti-bakteria, membantu menstimulasikan sel pertahanan, dan menambah penghasilan antibodi. Ia juga memiliki sejenis kompaun sulfur yang bersifat anti-oksidan.

Cubalah tambahkan bawang putih dalam makanan harian seperti bubur nasi, sup ayam, spaghetti, atau garlic bread. Menurut sumber dari KidSpot, seeloknya bawang putih ini dimasukkan pada akhir masakan supaya ia tidak memusnahkan khasiat kebaikan yang disebutkan tadi.

4. MEMATUHI WAKTU TIDUR YANG BAIK

Waktu tidur memainkan peranan penting dalam kesihatan seseorang, termasuklah anak kecil. Merujuk kepada National Sleep Foundation, 11-14 jam tidur diperlukan bagi anak kecil berusia 1-2 tahun, 11-13 jam tidur bagi anak kecil berusia 3-5 tahun, manakala 9-11 jam tidur diperlukan oleh kanak-kanak berusia 6-13 tahun setiap hari.

Jika anak susah tidur siang, pastikan mereka masuk tidur lebih awal setiap malam.

Penelitian menunjukkan bahawa kurangnya tidur boleh mengurangkan penghasilan natural killer cell, iaitu senjata pertahanan tubuh yang berfungsi menyerang mikrob dan sel kanser. Ini akan membuatkan kanak-kanak (serta orang dewasa) lebih mudah terkena jangkitan.

5. GALAKKAN RIADAH & AKTIVITI LUAR

Anak kecil zaman kini lebih banyak meluangkan masa di dalam rumah berbanding di luar rumah. Oleh itu, kebanyakannya cenderung menjadi kurang aktif kerana kurang melakukan aktiviti fizikal.

Oleh itu, cuba hidupkan amalan bersenam dan ajaklah anak-anak beriadah di luar dengan kerap. Aktiviti seperti ini bukan saja menyihatkan, tetapi ia turut menambah bilangan natural killer cell, sekaligus meningkatkan imuniti tubuh.

6. MENGELAKKAN ANAK DARIPADA PEROKOK & ASAP ROKOK

Merokok bukan saja menjejaskan kesihatan perokok, tetapi ia juga merbahaya kepada orang di sekeliling mereka. Jika mahu anak anda sihat dan cerdas, pilihan terbaik adalah untuk berhenti merokok.

Ini kerana, asap rokok mampu membunuh dan merosakkan sel-sel yang penting dalam tubuh – terutamanya anak kecil. Sekalipun merokok di luar, sisa asap rokok tetap beracun dan akan melekat pada tubuh selama berjam-jam lamanya!

anak mudah sakit, anak kerap sakit, anak lemah imuniti, imuniti anak lemah, tingkatkan imuniti anak

7. ELAKKAN BERSESAK DI TEMPAT AWAM

Risiko pendedahan penyakit meningkat dengan gejala ‘overcrowding’ di mana terlalu ramai orang dalam satu tempat. Terdapat seribu satu kuman yang berlegar-legar di ruang udara yang padat dengan manusia, dan kuman ini mampu menyelinap masuk ke dalam tubuh anak kecil dengan lebih mudah kerana sistem pertahanan mereka yang belum matang.

Semasa memilih pusat asuhan atau taska, pastikan nisbah antara penjaga dan kanak-kanak seimbang. Jika makan di luar, pilihlah tempat yang bersih dan makanan yang diselia rapi.

8. SAY NO TO JUNK FOOD & FAST FOOD

Burger, nugget, pizza, kerepek, coklat, kek, gula-gula, dan air kotak. Sedap memang sedap. Senang nak dapat. Nak masak pun cepat. Tapi semua makanan ini amat kurang nilai nutrisi, bahkan mengandungi kandungan garam, gula, pengawet, bahan perasa, serta pewarna tiruan yang tinggi. Nak makan sekali-sekala tak apalah, tapi jangan jadikan ia kebiasaan.

Mahu atau tidak, kita sebagai ibu bapa perlu memainkan peranan untuk membantu mereka menghentikan tabiat ini dan sebaliknya cubalah perkenalkan sumber makanan yang segar, homemade, dan lebih terjamin khasiatnya. Dengan khasiat ini, barulah sistem imuniti tubuh anak dapat berfungsi dengan lebih efisyen.

9.MENGUTAMAKAN KEBERSIHAN

Ajarkan anak menutup mulut ketika bersin, batuk, dan buang hingus yang dihembuskan pada tisu atau sapu tangan khas. Tabiat ini bukan saja membantu menampilkan identiti yang bersih, tetapi ia juga melindungi anak daripada menyebarkan kuman ke serata tempat.

Bagi anak kecil pula, perhatikan mereka dengan lebih kerap sekiranya mereka sedang tumbuh gigi dan suka mengeluarkan air liur. Pastikan wajah mereka selalu dilap. Kebersihan gusi dan gigi juga penting walaupun bayi hanya minum susu ibu. Bilaskan dengan tuala lembap setiap hari.

BUKAN SEKADAR AMBIL VITAMIN & SUPLEMEN!

Sungguhpun sesetengah vitamin dan suplemen boleh membantu meningkatkan imuniti, namun perlulah bersederhana dan tidak melebihi dos yang ditetapkan. Pengambilan Vitamin C secara berlebihan contohnya boleh merosakkan sistem hati.

Demam pada anak sebenarnya adalah respon tubuh terhadap jangkitan, ia menunjukkan bahawa sistem imuniti mereka sedang bekerja untuk memastikan tubuh anak sihat. Oleh itu, kita tak perlu risau selagi mereka tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda luarbiasa.

Sumber : Inisemuapoyo.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *