Semenanjung Malaysia Alami Cuaca Sejuk

Selatan Semenanjung Malaysia Alami Cuaca Sejuk

January 12, 2018 Ratu viral
Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengesahkan beberapa kawasan terutama di selatan Semenanjung mengalami penurunan suhu dengan Kuala Pilah di Negeri Sembilan merekodkan suhu paling rendah pada 21 darjah Celcius sejak tengah malam tadi hingga awal pagi.

Ketua Pengarahnya Alui Bahari berkata bagaimanapun keadaan itu adalah fenomena biasa ketika musim monsun timur laut. Cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan tiupan angin sejuk monsun timur Laut merupakan antara faktor cuaca sejuk yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sejak semalam.

“Cuaca sejuk ini berlaku terutamanya di kawasan pedalaman dan daratan dengan sejak tengah malam semalam hingga awal pagi ini, stesen meteoreologi dari selatan Semenanjung hingga ke Johor mencatatkan suhu 22 darjah Celcius minimum dan maksimum 25 darjah Celcius berbanding suhu biasa 30 hingga 31 darjah Celcius,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai isu suhu sejuk melanda beberapa negeri yang ditularkan menerusi media sosial sejak beberapa hari lalu.

Mengulas lanjut, Alui berkata perubahan suhu itu turut disumbangkan oleh keadaan berawan dan hujan renyai di beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta hujan sederhana di Pahang dan Johor.

“Kita jangka keadaan akan kembali normal hari ini selepas hujan reda,” katanya menambah fenomena itu tidak melanda negeri-negeri di utara Semenanjung. – Bernama

Sementara itu Astro Awani melaporkan
Aplikasi ramalan cuaca Malaysia, Met Office, baru-baru ini telah memaparkan cuaca di Lembah Klang turun sekitar 22 darjah Celsius.

Adakah ini bermakna Malaysia bakal dilanda cuaca sejuk yang melampau?

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagaimanapun menafikan ramalan tersebut.

Menurut Ketua Pengarahnya, Alui Bahari, cuaca di sebelah utara Semenanjung Malaysia memang agak sejuk memandangkan berlakunya hujan berterusan sejak Khamis.

Beliau menjangkakan cuaca mungkin boleh mencecah 20 darjah Celsius pada waktu subuh pada Jumaat (12 Jan), namun akan kembali kepada suhu biasa keesokan harinya.

“Pada masa ini, cuaca memang agak sejuk di sebelah utara Semenanjung kerana berlakunya hujan berterusan pada hari ini (Khamis) dan hujan ini dijangka akan berterusan sehingga tengah malam.

“Dan esok (Jumaat), kami jangkakan suhu akan kembali seperti biasa,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambah Alui, penurunan suhu hingga ke 20 darjah Celsius bukan sesuatu yang luar biasa.

Malah, jelas beliau, cuaca pernah mencecah 15.7 darjah Celsius pada beberapa tahun yang lepas.

“Pernah berlaku beberapa tahun lalu di Perlis, Kedah dan Kuala Krai, Kelantan di mana suhu menurun kepada 18 darjah Celsius disebabkan oleh tiupan angin dari utara.

“Lazimnya, ia berlaku pada bulan Januari dan bulan Februari di mana angin Timur Laut bertiup,” jelas beliau lagi.

Berikut merupakan suhu kawasan yang pernah mencatatkan suhu terendah pada 2014:

3 Februari 2014
Kota Bharu, Kelantan: 17.8°C
Gong Kedak, Terengganu: 17.6°C
Kuala Krai, Kelantan: 15.7°C

4 Februari 2014
Chuping, Perlis: 16.1°C
Butterworth, P. Pinang: 19.0°C
Kuala Kangsar, Perak: 17.2°C

sumber: info ketat sendat